Tuesday, June 2, 2015

WARNA WARNI CUTI SEKOLAH KEMBALI LAGI

 

Cuti persekolahan telah pun bermula pada 30 Mei 2015 hingga 13 Jun 2015. Pelbagai aktiviti menarik disajikan untuk pengunjung-pengunjung Muzium Negeri Terengganu. 

Sejajar dengan objektif muzium iaitu menjadi muzium terbaik pada tahun 2020, muzium mengambil langkah untuk mengetengahkan lagi dunia pemuziuman kepada pengunjung-pengunjung sepanjang cuti sekolah ini. Di samping Pameran Organ Manusia yang menampilkan 90% spesimen organ manusia yang sebenar, kami juga mengadakan Mini Pameran Pemuziuman, Pameran Kucing, Booth Jualan dan Car Boot Sale untuk mempelbagaikan aktiviti dan kemudahan serta keselesaan pengunjung. 
 
Selain itu, pengunjung turut dijemput untuk menyertai "Pertandingan Koleksi Antik dan Foto Lama", "Pertandingan Kukor Nyior" secara berpasangan, "Pertandingan Teka Jumlah Anak Tangga Muzium" dan "Pertandingan Kucing Baka Shorthair dan Longhair". 



Pertandingan Teka Anak Tangga Blok Utama Muzium dan Pertandingan Koleksi Antik dan Foto Lama diadakan sepanjang cuti sekolah ini kecuali hari Jumaat dan Sabtu. Dapatkan borang penyertaan di kaunter Urusetia. Keputusan Johan, Naib Johan dan tempat Ketiga akan diumumkan pada hari Sabtu, 13 Jun 2015.


Manakala Pertandingan Kukor Nyior secara berpasangan pula akan diadakan pada hari Sabtu ini, 6 Jun 2015, jam 11.00 pagi bertempat di tapak program Warna Warni Cuti Sekolah, Muzium Negeri Terengganu. Pertandingan ini diadakan buat kedua kalinya kerana sambutannya amat menggalakkan dan di atas permintaan orang ramai. 

Pertandingan Kucing 2 kategori iaitu Long Hair dan Shorthair, yang dianjurkan oleh Kelab Kucing Negeri Terengganu pula akan diadakan pada 12 dan 13 Jun 2015 iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu minggu terakhir cuti sekolah. Anda pastinya teruja dengan kecomelan dan kepelbagaian spesis kucing yang dipamerkan.

Terima kasih kepada semua hotel-hotel yang sudi memberi sumbangan dan tajaan hadiah sepanjang program Warna Warni Cuti Sekolah ini berlangsung. 

Tuesday, April 7, 2015

PERASMIAN PAMERAN ORGAN MANUSIA PENUH KEJUTAN


Majlis Perasmian Pameran Organ Manusia telah diadakan pada hari Isnin, 6 April 2015 bertempat di Serambi Mandalika, Muzium Negeri Terengganu. Majlis berlangsung pada jam 10.30 pagi itu dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Haji Zubir bin Embong; Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu.




Galeri Pameran Organ Manusia 2015 ini mula berlangsung pada 6 April 2015 hingga 31 Julai 2015 dan akan beroperasi setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 5 petang. Manakala pada cuti sekolah pula, galeri pameran akan ditutup pada jam 6 petang. Pameran ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada masyarakat untuk mempelajari, melihat dan meneliti organ-organ manusia yang jelas melihatkan keagungan dan kebesaran Allah S.W.T.

Pameran ini juga mampu menyuntik minat pada generasi muda khasnya para pelajar untuk mendalami bidang pendidikan kesihatan dengan ilmu yang betul berdasarkan fakta sains.


Rata-rata pelawat yang hadir pada hari perasmian itu berpuas hati dengan pameran yang dipaparkan di mana ia melibatkan 90% spesimen organ manusia asli dan selebihnya adalah replika. Mereka juga turut dipersembahkan satu Diorama Dewan Bedah serta beberapa acara sampingan seperti Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Pendaftaran Derma Organ dan Derma Darah.




Pihak muzium ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pusat Pengajian Sains dan Perubatan USM, MedikSCOM, Jabatan Patologi USM, Jabatan Anotomi USM dan Hospital Sultanah Nur Zahirah kerana membentuk satu kerja berpasukan yang cukup hebat dalam sama-sama menjayakan Pameran Organ Manusia 2015. Segunung penghargaan jua buat semua rakan-rakan media yang sudi hadir dan memberi sokongan padu kepada kami.

Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk menghayati kebesaran Allah S.W.T yang ada pada diri kita.


Thursday, March 12, 2015

Pertandingan Gamelan Melayu Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu 2015

Pertandingan Gamelan Melayu Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu telah berlangsung di Laman Warisan Muzium Negeri Terengganu pada 8 dan 9 Mac 2015 baru-baru ini. Sebagai acara pembuka tirai pada tahun 2015, ia merupakan satu permulaan yang agak baik di mana pertandingan ini disertai oleh 21 buah sekolah dari seluruh negeri Terengganu. Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk mengekalkan kegemilangan muzik warisan melayu ini agar tidak lenyap ditelan zaman. Tahniah diucapkan kepada SM Sains Setiu yang telah berjaya menambat hati juri seterusnya menjadi Johan bagi tahun ini. Manakala Naib Johan pula dimenangi oleh SMK Tengku Mahmud, Besut. Tempat Ketiga berjaya dirangkul oleh SMK Bukit Diman. Juara bagi tahun 2014, SMK Mak Lagam mendapat Anugerah Khas Juri kerana berjaya menampilkan persembahan yang cukup mengasyikkan.




Johan Pertandingan Gamelan Melayu Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu 2015, SM Sains Setiu




Anugerah Khas Juri, SMK Mak Lagam
Sempena pertandingan ini, Lembaga Muzium Negeri Terengganu turut memperkenalkan Kumpulan Gamelan Muzium yang diberi nama Tunjang Warisan. Kumpulan ini mula ditubuhkan pada bulan Oktober 2014 sejajar dalam merealisasikan hasrat Pengarah untuk menjadikan Muzium Negeri Terengganu sebagai pusat rujukan muzik gamelan khususnya Gamelan Melayu.

Kumpulan Gamelan Muzium Negeri Terengganu, "Tunjang Warisan" mengadakan persembahan

Pihak Muzium Negeri Terengganu mengucapkan setinggi ucapan tahniah dan terima kasih kepada sekolah-sekolah yang terlibat dalam menjayakan pertandingan ini. Semoga kita bersua lagi pada tahun hadapan... Insya-Allah.

Sunday, March 1, 2015

Lawatan Pelajar Diplomatik dari 19 buah negara ke Muzium Negeri Terengganu






Lawatan pelajar Diplomatik dari 19 buah negara ke Muzium Negeri Terengganu pada 28 Februari 2015. Lawatan antarabangsa ini dikendalikan oleh Kementerian Pelancongan Negeri dan bertujuan untuk memperkenalkan produk pelancongan yang ada di negeri Terengganu. Antara negara-negara yang terlibat adalah dari Zimbabwe, Georgia, Indonesia, Laos, Malaysia, Sri Lanka dan lain-lain. 

Perkenalan singkat bersama pelajar-pelajar ini ternyata memberi satu kenangan yang paling manis buat mereka kerana mereka diberi peluang mengelilingi Kompleks Muzium Negeri Terengganu dan perkarangan Muzium Negeri Terengganu termasuk ke Galeri Pelayaran dan Perdagangan; Perahu Besar Kemajuan & Perahu Besar Sabar. 

Menurut peserta dari Georgia, Kate berkata, beliau cukup kagum dengan struktur dan senibina Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang menggambarkan terdapat seribu satu misteri yang tersimpan di sini yang perlu dijejak untuk tatapan dunia. Tambahnya lagi, beliau akan turut memperkenalkan Muzium Negeri Terengganu ini kepada rakan-rakan senegara beliau kelak.

Pertandingan Mewarna Warisan Kita 2015

Lembaga Muzium Negeri Terengganu telah mengadakan Pertandingan Mewarna Warisan Kita 2015 pada 28 Februari 2015 baru-baru ini. Pertandingan itu disertai kira-kira 800 pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak Pra Sekolah, Tahap 1 dan Tahap 2 dari Tadika KEMAS, Yayasan Islam Terengganu, Tadika Perpaduan dan sekolah-sekolah rendah sekitar negeri Terengganu ini.



  
Dengan tema 'Sayangi Warisan Kita', pertandingan ini bermatlamatkan memberi apresiasi budaya dan sejarah kepada generasi muda ke arah melahirkan generasi celik sejarah dan budaya bangsa. 



Pertandingan turut di meriahkan dengan aktiviti sampingan seperti persembahan spontan kanak-kanak, kuiz dan cabutan nombor bertuah.



Berikut adalah senarai pemenang:

KATEGORI 1 - PRA SEKOLAH

JOHAN    
Nurin Syahmina Bt Mohd Azani
KTP Mengabang Tengah

NAIB JOHAN  
Naufal Hakim Bin Hazim
Tabika KEMAS Bukit Bayas

KETIGA      
Nur Aisyah Munirah Bt Hussin
Yayasan Islam Terengganu


 KATEGORI 2 - TAHAP 1 (7 - 9TAHUN)

JOHAN     
Lee Pei Qi
SJK (C) Chung Hwa Wei Sin            

NAIB JOHAN     
Julia Nadhirah Bt Zulkifli
Sekolah Kebangsaan Kepong       

KETIGA     
Nurfarahin Zahirah Bt Zamri
Sekolah Kebangsaan Kompleks Wakaf Tembesu


KATEGORI 3 - TAHAP 2 (10-12 TAHUN)

JOHAN     
Nurin Aisya Bt Mat Yusof
Sekolah Kebangsaan Bukit Perah

NAIB JOHAN    
Ten Chin Shyuen
SJK (C) Chung Hwa Wei Sin

KETIGA   
Toh Ann Chyi 
SJK (C) Chung Hwa Wei Sin

Segunung tahniah diucapkan kepada pemenang-pemenang. Kepada yang tidak berjaya teruskan berusaha. Terima kasih kepada semua peserta yang mengambil bahagian di atas sokongan yang diberikan.
.   

Saturday, February 21, 2015

Majlis Pelancaran Kalendar Aktiviti Muzium Negeri Terengganu 2015

MAJLIS PELANCARAN KALENDAR AKTIVITI MUZIUM NEGERI TERENGGANU 2015

Pelancaran Kalendar Aktiviti Muzium Negeri Terengganu 2015 telah diadakan pada 17 Februari 2015 di perkarangan Muzium Negeri Terengganu baru-baru ini. Majlis itu telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Haji Mohd Jidin bin Shapee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri. 





Antara tetamu-tetamu yang hadir memeriahkan lagi majlis itu ialah Ahli Lembaga Muzium Negeri Terengganu iaitu Yang Berbahagia Dato' Haji Alwi bin Muhamad dan Yang Berbahagia Tuan Haji Long bin Abdul Rahman. 

Majlis yang berlansung dalam kesederhanaan ini turut mengundang wakil-wakil 'Tourism Players' bagi mempromosikan aktiviti-aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang tahun ini. Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdullah, Pengarah Muzium Negeri Terengganu berkata beliau amat berterima kasih kepada MAIDAM, MATTA, UKOM, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Taman Tamadun Islam Management, Hotel Permai, Hotel Primula Beach, Hotel Grand Continental, Hotel Sumai, Felda Residence, Hotel Grand Puteri, Hotel Tabung Haji, SUKTRA, Tourism Malaysia Terengganu, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis-Majlis Daerah, Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu kerana sudi meluangkan masa menghadiri majlis yang bermakna ini. 
















Di akhir majlis, satu sidang akhbar telah diadakan bersama Yang Berbahagia Dato' Haji Mohd Jidin bin Shapee,Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan; dan Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdullah, Pengarah Muzium Negeri Terengganu. Majlis turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada wakil-wakil akhbar yang hadir; The Star, NSTP, Berita Harian, Sinar Harian dan lain-lain diatas sokongan yang diberikan.


Search This Blog

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...