Tuesday, June 2, 2015

WARNA WARNI CUTI SEKOLAH KEMBALI LAGI

 

Cuti persekolahan telah pun bermula pada 30 Mei 2015 hingga 13 Jun 2015. Pelbagai aktiviti menarik disajikan untuk pengunjung-pengunjung Muzium Negeri Terengganu. 

Sejajar dengan objektif muzium iaitu menjadi muzium terbaik pada tahun 2020, muzium mengambil langkah untuk mengetengahkan lagi dunia pemuziuman kepada pengunjung-pengunjung sepanjang cuti sekolah ini. Di samping Pameran Organ Manusia yang menampilkan 90% spesimen organ manusia yang sebenar, kami juga mengadakan Mini Pameran Pemuziuman, Pameran Kucing, Booth Jualan dan Car Boot Sale untuk mempelbagaikan aktiviti dan kemudahan serta keselesaan pengunjung. 
 
Selain itu, pengunjung turut dijemput untuk menyertai "Pertandingan Koleksi Antik dan Foto Lama", "Pertandingan Kukor Nyior" secara berpasangan, "Pertandingan Teka Jumlah Anak Tangga Muzium" dan "Pertandingan Kucing Baka Shorthair dan Longhair". 



Pertandingan Teka Anak Tangga Blok Utama Muzium dan Pertandingan Koleksi Antik dan Foto Lama diadakan sepanjang cuti sekolah ini kecuali hari Jumaat dan Sabtu. Dapatkan borang penyertaan di kaunter Urusetia. Keputusan Johan, Naib Johan dan tempat Ketiga akan diumumkan pada hari Sabtu, 13 Jun 2015.


Manakala Pertandingan Kukor Nyior secara berpasangan pula akan diadakan pada hari Sabtu ini, 6 Jun 2015, jam 11.00 pagi bertempat di tapak program Warna Warni Cuti Sekolah, Muzium Negeri Terengganu. Pertandingan ini diadakan buat kedua kalinya kerana sambutannya amat menggalakkan dan di atas permintaan orang ramai. 

Pertandingan Kucing 2 kategori iaitu Long Hair dan Shorthair, yang dianjurkan oleh Kelab Kucing Negeri Terengganu pula akan diadakan pada 12 dan 13 Jun 2015 iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu minggu terakhir cuti sekolah. Anda pastinya teruja dengan kecomelan dan kepelbagaian spesis kucing yang dipamerkan.

Terima kasih kepada semua hotel-hotel yang sudi memberi sumbangan dan tajaan hadiah sepanjang program Warna Warni Cuti Sekolah ini berlangsung. 

Search This Blog

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...