Muzium Maya Terengganu Pertama di Malaysia, Ketiga Di Dunia
Kerajaan negeri mula memperkenalkan Muzium Maya bagi membolehkan 33,000
 bahan sejarah dan artifak milik Lembaga Muzium Negeri Terengganu dapat 
dilihat melalui capaian secara interaktif.
Muzium Maya Terengganu yang diwujudkan dengan kerjasama Universiti 
Kebangsaan Malaysia itu adalah pertama di Malaysia dan ketiga di dunia.
Kemudahan itu boleh dicapai melalui laman sesawang 
www.ftsm.ukm.my/museummaya, selain menyediakan kemudahan interaktif di 
setiap ruangan pameran di Muzium Negeri Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri, 
Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, melalui program itu, pihak 
muzium bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah menjimatkan ruang 
pameran.
Katanya, terdapat banyak artifak yang tidak dapat dipamerkan kerana 
ruang yang sempit walaupun khazanah tersebut sangat bernilai tinggi.
“Projek ini juga dapat memberi kesedaran kepada pelawat tentang 
kepentingan warisan budaya yang ditinggalkan nenek moyang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sompisium ICT Dalam 
Warisan Budaya dan Pelancaran Sistem Muzium Maya di Muzium Terengganu, 
hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Pengarah 
Muzium Terengganu, Mohd Yusof Abdullah dan Timbalan Naib Canselor UKM, 
Prof Dato’ Imran Ho Abdullah.
Sementara itu, Imran memberitahu buat permulaan sebanyak 400 artifak 
dimuatkan ke dalam sistem itu, dan selebihnya akan diselaras secara 
berperingkat-peringkat.
“Kami yakin sistem muzium maya ini mampu memberi manfaat dan impak 
besar kepada masyarakat hasil daripada proses penyelidikan dan kerjasama
 erat enam pakar UKM,” katanya.
Sumber : Teganu Online